KITA 2026 Presenters

Presenter line-up

KITA 2026 Presenters

Select a profile to view more information.

Agile Governance, Anti-Corruption Practices and Financial Resilience

SESI PLENO 2

Agile Governance, Anti-Corruption Practices and Financial Resilience

PROFESOR DR. SURESH RAMAKRISHNAN Pakar Kewangan Korporat, Governans dan Kelestarian Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

Prof. Dr. Suresh Ramakrishnan merupakan Profesor Kewangan di Fakulti Pengurusan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan merupakan seorang ahli akademik yang mempunyai kepakaran dalam bidang Kewangan Korporat, Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), Tadbir Urus Korporat serta Kelestarian.

Beliau memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (PhD) daripada Deakin University, Melbourne, Australia, Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Kewangan) daripada Universiti Putra Malaysia (2002) dan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan (Teknologi – Kewangan) daripada Universiti Teknologi Malaysia. Dengan pengalaman lebih 26 tahun dalam bidang pengajaran, penyelidikan dan kepimpinan akademik, beliau telah memegang pelbagai jawatan pengurusan utama, antaranya Timbalan Pengarah, Global Strategy and Engagement, UTM International; Timbalan Dekan Penyelidikan, Inovasi, Pembangunan dan Alumni, Azman Hashim International Business School; serta Timbalan Dekan Penyelidikan, Inovasi dan Pembangunan, Fakulti Pengurusan.

Pada masa ini, beliau mengetuai Bahagian Penarafan, Pusat Strategi, arising dan Penarafan, Pejabat Strategi dan Kesohoran Global, UTM. Sebagai seorang penyelidik yang aktif, Prof. Dr. Suresh telah menerbitkan lebih daripada 120 artikel dalam jurnal terindeks Web of Science dan Scopus, khususnya dalam bidang kewangan korporat, kualiti tadbir urus, integrasi ESG, tanggungjawab sosial korporat dan daya tahan kewangan dalam pasaran sedang membangun. Penyelidikan beliau menggabungkan kaedah empirikal yang mantap dengan dapatan yang berorientasikan dasar bagi menyokong amalan kewangan mampan dan pelaburan yang bertanggungjawab.

Beliau turut menganggotai beberapa lembaga editorial jurnal antarabangsa serta telah berjaya menyelia pengajian sehingga tamat bagi 40 orang graduan PhD dari Malaysia dan luar negara. Selain itu, beliau berpengalaman sebagai pemeriksa luar pengajian PhD dan penilai penyelidikan bagi universiti tempatan dan antarabangsa. Di peringkat kebangsaan, beliau turut menyumbang kepada Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2015–2025 dan 2021–2025 serta berperanan sebagai Panel Pakar bagi penilaian geran penyelidikan di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Berteraskan komitmen terhadap kecemerlangan akademik dan tadbir urus yang mampan, Prof. Dr. Suresh Ramakrishnan terus menyumbang melalui penyelidikan berimpak tinggi, kepimpinan institusi dan jaringan kerjasama di peringkat global.

Kepimpinan Integriti: Era Baharu, Cara Baharu

SESI PLENO 3

Kepimpinan Integriti: Era Baharu, Cara Baharu

DATO' PROFESOR DR. HAJI MOHD FARID RAVI BIN ABDULLAH Naib Canselor Universiti Islam Selangor (UIS)

Dato’ Prof. Dr. Mohd Farid Ravi bin Abdullah merupakan seorang tokoh akademik dan pendakwah yang berpengalaman luas dalam bidang pengajian Islam, khususnya tafsir al-Quran dan Ulum al-Quran. Beliau kini berkhidmat sebagai Naib Canselor Universiti Islam Selangor serta merupakan Profesor di Jabatan Al-Quran dan as-Sunnah, Fakulti Pengajian Peradaban Islam.

Dalam bidang pendidikan, beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Usuluddin dari Universiti Al-Bayt, Jordan. Beliau kemudiannya melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana dalam bidang Pengajian al-Quran dan as-Sunnah di Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia. Seterusnya, beliau memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Pengajian Tafsir dan Ulum al-Quran dari Universiti of Jordan.

Selain tugas akademik, beliau turut memegang beberapa jawatan dan keahlian penting dalam pertubuhan serta institusi. Antaranya ialah sebagai Ahli Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Ahli Majlis Kebangsaan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), Pengerusi Malaysian Indian Reverted Association (MIRA), Ahli Lembaga Pembangunan Al-Quran Malaysia serta Ahli Pemegang Amanah Yayasan Kebajikan dan Pendidikan Munir Pahang.

Penglibatan beliau turut merangkumi bidang media dan penyiaran. Beliau pernah terlibat sebagai panel Forum Perdana Hal Ehwal Islam, panel tetap Tilawah Interaktif, panel Program Tanyalah Ustaz TV3, talent dan panel Program Cinta Ilmu TV Al-Hijrah serta panel Salam Baitullah. Pengalaman tersebut memperlihatkan kemampuan beliau menyampaikan ilmu agama kepada masyarakat melalui pelbagai medium komunikasi.

Dato’ Prof. Dr. Mohd Farid Ravi juga merupakan pemegang tauliah daripada beberapa institusi agama, termasuk Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Majlis Agama Islam Negeri Perak. Dalam bidang akademik dan dakwah, beliau aktif menerima serta menyampaikan ucaptama dan pembentangan kertas kerja di persidangan antarabangsa dan kebangsaan. Beliau juga aktif menyampaikan ceramah di masjid-masjid sekitar Lembah Klang dan seluruh negara, selain memberikan perkongsian atau kuliah secara dalam talian. Di samping itu, beliau turut menyampaikan syarahan di jabatan-jabatan kerajaan dan sektor swasta.

Beliau juga aktif menghasilkan karya penulisan dalam bidang pengajian Islam. Antara buku yang dihasilkan ialah 40 Hadis Al-Nawawi: Terjemahan dan Pengajarannya, Biografi Imam Al-Bukhari, Ustaz Apa Hukumnya?, Kembali Kepada Fitrah, Imam Abdul Hamid Al-Farahiy: Sumbangan dalam Pengajian Tafsir dan Ulum Al-Quran, Tadabbur Surah Al-Fatihah serta Terjemahan dan Pengajaran Kitab Adab al-Mufrad Karangan Imam al-Bukhari. Bidang kepakaran beliau merangkumi Tafsir Kontemporari, Tafsir Maudhu’i, Ulum al-Quran serta Tafsir al-Bayan (Balaghah). Selain Bahasa Melayu, beliau turut menguasai Bahasa Arab, Bahasa Inggeris dan Bahasa Tamil.

Website statistics

Visitor Statistics

018,596

Total visitors

021,058

Visitors this month

031,128

Visitors in the last 7 days

04313

Visitors today

Estimated unique visitors based on one browser per period. Refreshing the page does not increase the daily count.